Jan 04, 2026 - FASSelangor FC akan menerima kunjungan Johor Darul Ta’zim (JDT) FC bagi perlawanan ke-14 saingan Liga Super 2025/26 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, malam ini.
Skuad Gergasi Merah kini menduduki tempat ketiga siangan Liga Super 2025/26 dengan 25 mata terkumpul daripada 12 perlawanan; lapan menang, satu seri dan tiga kalah serta sebanyak 27 jaringan berjaya dihasilkan sepanjang pusingan pertama berlangsung.
Christophe Gamel, Ketua Jurulatih Selangor FC, melihat pertemuan ini sebagai pengukur terhadap progres pasukan bagi permulaan pusingan kedua liga.
“Perlawanan ini akan membantu kita untuk mengukur apa yang perlu diperbaiki, dikekalkan, serta bagaimana kita boleh mencipta lebih banyak peluang dan menguruskan permainan dengan lebih baik. Mereka merupakan pasukan yang kuat dan sentiasa kompetitif, tetapi saya percaya sekecil-kecil penumpuan dalam perancangan akan membantu,” jelas Gamel.
Dari segi keberadaan pemain, empat pemain masih tidak dapat diturunkan bagi perlawanan #SFCJDT, iaitu Sharul Nazeem (kecederaan ACL), Samuel Somerville (patah jari kaki), Izwan Yuslan (kecederaan clavicle) dan Sikh Izhan (patah pergelangan tangan). Sementara itu, Mohammad Abualnadi telah kembali menjalani latihan penuh selepas pulih daripada kecederaan otot aduktor dan bersedia untuk diturunkan bersama rakan sepasukan bagi memperjuangkan lencana di dada.
Selain itu, dua pemain pinjaman yang kini kembali bersama keluarga Merah Kuning, Safuwan Baharudin dan Alexander Agyarkwa pula akan beraksi bermula pada 5 Januari selaras dengan jadual rasmi jendela perpindahan kedua MFL.
Selangor FC mendoakan kejayaan pasukan dan yakin para pemain akan berusaha untuk mempamerkan aksi yang terbaik pada malam ini. Ayuh, Gergasi Merahku!
Jumpa malam ini di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, penyokong setia Merah Kuning. Dapatkan tiket #SFCJDT di sini!
Demi Kebanggaan!